Permintaan 4:
-Mia-
Perjalanan Baru Bermula!
Lampu-lampu
jalan menghiasi kegelapan bandar Shinjuku. Langit yang membiru telah pun
menjadi gelap. Sejak aku melangkah keluar daripada kawasan Sekolah Menengah
Tinggi Ao Sora, aku merayau-rayau di bandar ini. Hampir dua jam aku berjalan,
mengelilingi bandar, tanpa arah tuju. Rumah? Maaf, hajatku untuk pergi ke dunia
lain telah pun dimakbulkan dan sekarang aku berada di dunia itu. Ya, aku berada
di dunia yang sangat asing bagiku. Erm… tidak juga sebenarnya. Tidak adalah
asing sangat kerana dunia ini pun dihuni oleh manusia biasa seperti aku (buat
masa ini, itu sahajalah yang aku nampak, tidak tahulah kalau ada benda lain
yang wujud di dunia ini). Mimpi? Haha… itulah apa yang aku fikirkan sejak aku
masuk ke dunia ini, namun, ini benar-benar realiti. Risau? Sememangnya. Aku
ingat tidak akan menjadi masalah jika aku masuk ke dunia lain, tetapi apabila
ini berlaku, aku sangat risau di mana sepatutnya aku BERMALAM pada malam ini.
Aku mengeluh. Aku yang lagi satu ini memanglah!
Pandai-pandai sahaja hendak buat hajat masuk ke dunia lain. Sekarang, kedua-dua
aku menjadi susah, siapa mahu tolong? Buat masa ini, aku yang lagi satu tidak
muncul lagi. Mungkin dia sangat menyesal dan sedang merenungkan perbuatan
sendiri. Tidak fikir sebelum bertindak, inilah padahnya! Sekarang, menyesal pun
tidak ada guna. Bak kata pepatah Melayu yang sangat popular di sebuah negara
bernama Malaysia, ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’.
Mujurlah di dunia ini musim panas. Kalau musim
sejuk seperti di dunia aku, membekulah aku di luar tengah malam-malam buta. Aku
mengeluh lagi. Mata-mata liar yang memandang aku sangat ramai. Maklumlah, budak
sekolah menengah yang masih lagi berpakaian seragam sekolah merayau-rayau di
tengah malam. Aku pasti inilah yang sedang bermain di fikiran diorang, “budak
itu tidak balik lagi ke?”, “mak bapak tak risau ke budak ini? Sudahlah
perempuan, dibiarkan merayau malam-malam macam ini”, “Budak-budak zaman
sekarang ini, tak reti balik rumah!” dan sebagainya. Tengok reaksi muka mereka
pun aku sudah tahu. Bak kata Hikigaya Hachiman daripada cerita anime Oregairu,
“In essence, language accounts for a mere
30% of human communication. The other 70% is made up of information collected
from eye movements and other body language. With that, even a loner who never
take part in conversation can pull off 70% of what we consider communication”.
Pelik? Bukan ke aku yang lagi satu yang otaku
dan bukan aku yang sekarang? Ehem… walaupun seperti ada dua orang yang sangat
berbeza personaliti yang mengendalikan badan ini, aku sekarang dan aku yang
lagi satu berkongsi ilmu yang sama dan pengalaman yang sama. Tidak faham?
Maaflah, orang yang ada dua personaliti atau lebih terkenal disebut ‘split personality’ sangatlah rumit untuk
difahami. Kadang-kadang aku sendiri tidak faham dengan diri sendiri. Kalau aku
faham pun, aku tidak dapat menerangkannya dengan kata-kata.
Dalam kekusutan malam itu, tiba-tiba aku
teringat akan getah rambut berbentuk buah ceri pemberian Abang Iro. Hmm… Wujud
lagi ke benda alah itu dalam poket aku? Yalah, baju tidur aku telah berubah
menjadi baju seragam Sekolah Menengah Tinggi Ao Sora. Benda itu dalam seragam
sekolah di sekolah dunia aku.
“Tak ada kot…” bisikku perlahan sambil
memeriksa poket kain sekolahku.
Benda yang dicari tidak jumpa. Namun, benda
yang tidak disangka pula aku jumpa dalam poket kain sekolahku. Tanganku cuba
meraba. Kertas? Aik? Kotak muzik itu beri surat cintakah? Kejap, bentuknya
seperti biasa ku pegang. Saiznya seperti… duit? Kejap, DUIT? Mataku terbeliak
besar. Terkejut. Tak terkata. Aku cepat-cepat mengeluarkannya daripada poket.
Mataku tertumpu pada kertas itu. Memang benar, duit.
DUIT! Aku melonjak kegembiraan. Tidak
kebulurlah aku malam ini. Makan malam pun aku belum makan lagi. Aku tersenyum.
Tahu juga kotak muzik itu keperluan manusia zaman sekarang ini. Eh, kejap. Duit
ini cukup tidak untuk sewa rumah? Sewa bilik pun jadi lah! Kalau tidak, aku
mahu bermalam di mana? Tidur di stesen bas? Serius aku boleh bayangkan mamat yang
bernama Nat itu akan memburu aku.
“Maaf, aku tak boleh benarkan kau jatuhkan
reputasi sekolah ini!” aku memimik gaya Nat pagi tadi. Aku yakin dan pasti,
itulah yang akan diperkatakan kepada aku.
“By the
way, let see how much do I have… 100… 200… 300… 400… 500. 500 yen je? Kalau
macam ini, duit ini cukup mahu beli makanan je,”wajahku mula berkerut. Sewa
rumah atau bilik tidak akan cukup dengan duit sebanyak ini. Ish, kotak muzik
ini! Sengaja hendak susahkan aku ke? Tak boleh salahkan dia juga, salah aku
yang lagi satu yang ter’sangatlah’ bijak. Suka hati dia sahaja hendak buat
hajat masuk ke dunia lain.
Haih… Aku mengeluh lagi. Hari ini memang hari
mengeluh sedunia ek? Perut sudah meragam, meminta agar dirinya diisi. Aku
bersandar pada dinding sebuah kedai. ‘Kedai Runcit Kaoru’ yang tertera pada
papan kemas tergantung pada bangunan usang itu. Beli makanan daripada kedai
ini? Malangnya, kedainya tutup. Aku terduduk di situ, merehatkan kaki yang
sudah sakit. Kepala sakit memikirkan masalah, kaki sakit kerana telah berjalan
selama dua jam tanpa henti, hati pun sakit dengan seseorang yang bertindak
tanpa berfikir. Aduh, semua mahu sakit! Aku merengus geram.
Tiba-tiba, aku bau sesuatu yang lazat. Dari
mana ya datang bau ini? Bau seperti pastri. GRUUUUUUU... Bau sedap, sedap juga,
tetapi perut semakin meragam. Dari jauh, aku dapat mendengar bunyi loceng. Aku
terus mencari punca bunyi itu. Bunyi itu datang daripada sebuah bangunan kecil
di seberang jalan.
“Terima kasih, sila datang lagi!” gadis seperti
sebaya aku berkata kepada seorang pakcik yang baru sahaja keluar daripada
bangunan itu. ‘Aomori’s Pastry Shop’ tertera pada papan bangunan kecil itu.
Sedap betul bau makanan daripada kedai itu.
Aku berdiri dan meringankan kaki untuk menyeberangi jalan raya kecil itu lalu
menuju ke kedai pastri itu. Harap-haraplah harga kek dan rotinya tidak mahal.
Macam kedai pastri berdekatan dengan rumah di dunia aku itu. Pergh! Mahal gila!
Beli roti dekat sekolah lagi jimat. Apabila aku berada betul-betul di hadapan
kedai kecil itu, kaki aku terhenti. Badanku mula rasa kebas. Aduh! Aku lupa
pula yang ‘aku’ yang lagi satu ini sangat sukakan manisan dan anime. Dia hendak
bertukar dengan aku. Mataku menjadi kabur. Hanya satu sahaja, aku berharap dia
tidak menimbulkan masalah. Sekejap sahaja, dunia yang aku lihat tadi menjadi
gelap gelita.
---------------------------------------------
Aku membuka mataku. Aku berada di hadapan
bangunan kecil. ‘Aomori’s Pastry Shop’ tertera pada papan yang tergantung pada
bangunan kecil ini. Di hadapan kedai ini mempunyai pelbagai jenis tanaman. Aku
dapat melihat tanaman-tanaman itu dijaga dengan baik. Tiba-tiba, seorang gadis
muda yang cantik membuka pintu. Bunyi loceng berlanggaran sesama sendiri.
Dengan sekuntum senyuman yang manis, dia bertanya, “Cik buat apa di luar ini?
Jemputlah masuk ke kedai kami. Kami menjual pelbagai jenis kek dan roti”.
Aku membalas senyumannya. “Tehee♥ Kedai
ini comel sangat sampai Mia pun terpaku! Banyak kek?! Yay!” aku melonjak
kegembiraan seperti kanak-kanak yang baru mendapat hadiah hari jadinya. Tanpa
menghiraukan gadis cantik itu, aku melangkah masuk ke dalam kedai.
Labels: hanya satu permintaan, karya hana, Mia, Perjalanan Baru Bermula!, permintaan 4