PERMINTAAN 1
{ Mia }
Satu Permintaan
Ternyata pagi hari sungguh nyaman sekali. Burung-burung yang berkicauan menyerikan lagi suasana ini. Kicauannya bagaikan muzik yang bergema di telingaku.
Loceng berdering menandakan tamatnya waktu persekolahan. Nampaknya aku tidak mengambil perhatian dalam kelas lagi kerana terlalu asyik dengan kemerduan nyanyian burung-burung. Sejak kecil lagi suasana pagilah yang paling aku gemari.
Seperti biasa, kelasku pasti riuh rendah apabila guru tiada di dalam kelas. Gosip-gosip sudah pastinya menjadi pilihan pelajar perempuan. Gosip sememangnya sudah menjadi kebiasaan di sekolah menengah.
"Saya dengar, ada orang kata Mia itu sebenarnya otaku," kata-kata Nana membuatkan aku terkedu. Gosip tentangku kali ini adalah tepat sekali. Aku tidak pasti siapa pula yang sebarkan perkara itu.
"Takkanlah kau nak percaya cerita itu Nana. Mia itu kan budak paling matang dalam kelas ini. Takkanlah dia hendak minat perkara yang seperti budak kecil itu?" soalan Sarah itu telah membuatkan Nana menjadi bingung untuk mempercayai khabar angin itu atau tidak.
"Tetapi, saya dengar ada orang pernah nampak Mia masuk ke kedai yang jual CD anime," Nana masih tidak mahu menyerah kalah.
"Itu kata orang, bukannya awak yang melihatnya sendiri. Kalau awak mahukan kepastian tentang khabar angin itu, tanya sahaja si Mia itu," cadang Sarah.
"Ish, tidak beranilah saya. Awak pergilah tanya dia," kata-kata Nana itu mebuatkan Sarah mengeluh.
"Kau ini.... tidak pasal-pasal aku yang kena."
Sarah pergi ke mejaku. "Mia, gosip baru-baru ini tentang yang kau ini otaku. Betul ke?" mendengar soalan Sarah membuatkan aku tersenyum. Sebenarnya, kalau boleh aku mahu ketawa sahaja. Mana tidaknya, perkara kecil sebeginipun mahu dihebohkan.
"Macam mana dengan pendapat kau, Sarah? Adakah aku ini otaku?" aku menanyakannya disertakan dengan sekuntum senyuman. Tidak kira lelaki ataupun perempuan mangsanya, pasti akan terkena panahan cinta dengan senyuman mautku ini.
"Tak! Aku takkan percaya kalau kau otaku! Tak mungkin!" nampaknya Sarah adalah mangsa senyuman mautku itu. Sebenarnya, beginilah cara untuk aku mengelakkan diri dari menjawab soalan yang tidak akan membawa faedah.
Aku sendiri pun tidak sangka yang aku ini tersenarai pelajar popular di sekolah ini. Bukan apa, menjadi pelajar popular di sekolah teramatlah menyusahkan. Aku sudah berusaha untuk menjadi pelajar yang pasif tetapi sebaliknya makin popular pula aku. Tetapi... apabila difikirkan balik, masuk akal juga. Pencapaian akedemik aku memang top one. Gaya aku pun macam watak anime yang dikatogerikan sebagai cool.
"Sarah, awak... ada apa-apa soalan lagi?" soalku lembut.
"Ta-tak ada, Mia! Maafkan saya! Saya takkan percaya lagi mana-mana gosip tentang awak. Kan, Nana?"
"Y-ya!"
Aku memberi sekuntum senyuman buat kali kedua sebelum bergerak keluar daripada kelas. Seperti biasa, jika aku berjalan di koridor, semua pelajar akan berdiri di tepi koridor dan hanya bercakap sesama mereka. Tidak ada yang berani berjalan bersama-sama aku. Bagi mereka, aku ini seperti anak VIP yang berjalan di atas karpet merah. Hakikatnya, aku ini hanyalah pelajar menengah tinggi biasa seperti mereka. Bisikan-bisikan seperti, 'lihat, itu Mia-sama! Cantiknya dia!', 'Mia-sama nampak elegan seperti biasa. Aku tak berani nak jalan dengan dia. Rasa macam langit dengan bumi sahaja' dan pelbagai lagi. Kadang-kadang... Perkara sebegini, membuatkan aku berasa sangat sunyi. Aku cuma mahukan kehidupan yang sama seperti para remaja yang lain. Aku... tidak perlukan populariti ini.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Aku menekan butang pada mesin air. Aku mengambil air tin tersebut lalu membuka picunya. Aku melihat ke luar tingkap. Nampaknya hanya segelintir pelajar yang masih berada di sekolah. Aku rasa aku juga patut pulang sekarang.
Hampir sahaja kakiku melangkah keluar dari pagar sekolah tetapi kedengaran suara yang aku cukup kenal itu telah menghentikan langkahku. “Hoi! Bagus lakonan kau hari ni”.
Aku mengeluh. Pak guard sekolah ini lagi. Tidak boleh tengok orang senang. Kenapalah mesti dia yang tahu rahsia sebenar aku?
Semuanya bermula dari dua bulan yang lalu. Oleh kerana kecuaian aku, rahsia terbesar aku telah diketahui oleh pak guard sekolah ini. Rahsia TERBESAR kot! Nasib baiklah dia ini masih baik hati menyimpan rahsia terbesar lagi memalukan bagi orang yang berstatus seperti aku di sekolah. Kalau budak-budak sekolah ini tahu rahsiaku ini, kecoh satu dunia nanti!
“Apasal muka macam tak ingin sahaja untuk tengok muka saya yang hensem ni?” Tanya pak guard sekolah atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Iro.
“Memang tak ingin pun la!” balasku kasar.
“Amboi kasarnya... Perempuan kena jawab dengan lemah lembut dan bersopan santun. Bukan jawab macam nak cari gaduh,” Balas Abang Iro.
“Buat apa nak berlembut dengan musuh sendiri? Sudah la tu! Cepat beritahu saya, awak nak saya buat apa pula kali ini?” balasku lagi.
“Adoila minah... fikir negatif sangat. Bukannya saya selalu buli awak pun. Sekali sekala sahaja. Saya terjumpa getah rambut yang agak comel, sebab comel sangat, saya terus beli,” kata Abang Iro sambil menunjukkan getah rambut yang berbentuk ceri.
“Jadi? Awak nak saya bagi siapa? Kak Ran form 5 tu?” Soalanku telah membuatkan wajah Abang Iro merah macam buah tomato. Nampaknya memang benar khabar angin yang mengatakan bahawa Abang Iro ada hati dekat Kak Ran, Pengerusi Kelab Bola Tampar yang memang cun habis.
“Ish! Ke situ pula dia. Bukan lah... saya mahu beri getah ini pada awak. Biar awak yang pakai. Bukannya Kak Ran,” jawab Abang Iro dengan muka merahnya yang menahan malu.
“Bagi kepada saya? Buat apa? Kan lebih elok bagi kepada Kak Ran?” soalku lagi penuh kehairanan.
“Ambil sahajalah! Karang saya bocorkan rahsia awak yang awak sayang sangat sampai tak nak diketahui itu, baru awak tahu....” ugut Abang Iro.
Ah! Tak faham betul dengan mamat ini! Bencinya dengan mamat yang suka menyakat dan mengugut orang ini! Kalaulah ada pedang samurai di tanganku, sudah lama aku menyerangnya dengan menggunakan teknik Tujuh Naga seperti yang dilakukan oleh Kenshin Homura dalam cerita Rurouni Kenshin.
Aku pulang menuju ke rumah dengan langkah longlai. Ada ke patut bagi getah rambut kebudak-budakan macam ini kepada aku? Aku mengeluarkan getah rambut berbentuk buah ceri itu daripada poket kain sekolahku. Mungkin abang Iro mahu beri pada aku yang lagi satu. Aku yang personalitinya jauh beza dengan aku yang sekarang. Hanya Abang Iro sahaja yang tahu rahsiaku itu.
Aku menyeluk semula getah itu masuk ke dalam poket. Seperti hari-hari yang lain, aku melalui lorong yang sama. Sambil menikmati suasana petang, aku berfikir. Aku tidak tahu yang mana satu personaliti aku yang sebenar. Di Sekolah aku lain di rumah aku lain. Mahu kata aku ini hanya sekadar bertopeng, tidak juga. Aku tidak suka mempunyai dua personaliti. Merumitkan keadaan dan mengusutkan kepala sahaja.
Ibu saudaraku pernah beritahu aku tentang personalitiku. Katanya aku begini kerana sumpahan datuk. Mengapa pula datuk mahu buat begitu kepadaku? Takkanlah datuk juga bencikan aku? Mungkinkah datuk ada tujuan berbuat begitu? Ah! Buat kusut kepala sahaja memikirkan perkara ini! Jangan fikir lagi! Aku menepuk pipiku beberapa kali.
Dari kejauhan, aku sudah nampak bangunan yang mungkin sekarang aku patut hindari, tetapi jika aku tidak lalu jalan di hadapan kedai itu, bagaimana pula aku mahu pulang? Ini sahaja jalan yang dapat aku pulang ke rumah. Mungkin jika aku set mind jangan masuk, berkesan tak? Hmmm.... Lebih baik aku cuba, bak kata pepatah orang, “belum cuba belum tahu”!
“Jangan masuk Mia.... Jangan masuk Mia... Jangan masuk Mia......”. Gayaku sudah macam Sami yang sedang membaca mantera atau jampi sahaja. Ah! Fokus! Fokus! Tidak kisahlah orang fikir apa pun, orang nak kata apa pun! Yang penting aku tidak mahu masuk kedai itu dan aku tidak mahu bertukar personaliti.
Malang memang tidak berbau. Kakiku berhenti betul-betul di hadapan kedai itu. Tidak mahu berganjak langsung. Badanku sudah mula rasa kebas-kebas. Nampak gayanya, cara bijak set mind itu tidak menjadi. Pandanganku mula kabur. Terpaksalah aku pasrah. Aku yang lagi satu ini memang nak sangat keluar. Setelah beberapa minit dalam keadaan begitu, pandanganku mulai gelap.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Oi, kau dah duduk dalam kedai aku tiga jam. Aku dah nak tutup kedai ni. Kau nak duduk sini berapa lama lagi? Kalau nak beli, beli cepat,” bebel Kak Rei,iaitu pemilik kedai KEGEMARAN aku.
“Ala Kak Rei, Mia tak tahu nak beli apa. Kalau boleh nak beli semua,” kataku kepada pemilik kedai gula-gula yang amat aku sayangi lagi cintai itu.
Kak Rei mengeluh. Melayan kerenah aku yang memang orang kata ‘super annoying’ ataupun ‘spoilt kid’.
“Beli je semua dekat situ. Kan senang? Lagi senang kalau kau beli kedai aku terus. Tak payah lah setiap hari aku nak kena tunggu kau untuk tutup kedai.”
“Aah ek? Kak Rei nak jual kedai ni berapa ek? Mana tahu Mia boleh beli,”aku tersenyum sumbing macam kerang busuk.
“Ek! Takkanlah kau serius? Kalau aku jual kedai aku, aku nak kerja apa?”
“Tak payah kerja,” gurauku kepada Kak Rei.
“Kalau kau gurau aku dengan ayat itu, keluar sekarang dari kedai aku. Tak payah datang sini lagi,”ugut Kak Rei. Ayatnya sadis macam biasa.
“Ala Kak Rei ni... gurau sikit pun tak boleh.”
“Aku tak faham macam mana kawan-kawan sekolah kau boleh tahan dengan orang macam kau ni, atau diorang pun sekepala dengan kau, Mia?” Kak Rei mengeluh sambil mengurut dahinya. Tak tahan sangat agaknya.
“Dunia ini penuh lakonan. Sesiapa sahaja boleh pakai topeng sebanyak mana mereka mahu untuk menutup kelemahan diri mereka, Kak Rei,” aku tersenyum setelah menuturkan ayat itu.
Hakikatnya, aku bukannya berlakon, aku bukannya memakai topeng, tetapi dua personaliti ini adalah aku. Matang. Kebudak-budakan. Penyayang. Kejam. Setia. Pengkhianat. Kesemua personaliti, ada pada aku. Sebenarnya, aku bencikan kelebihan yang ada pada aku. Aku bencikan diri sendiri.
“Mia, cepatlah! Orang nak tutup kedai dah ni!” Lamunanku terhenti.
Tanpa berfikir panjang aku ambil sahaja lollipop yang berada di hadapanku. Setelah mengambil lollipop itu, aku ternampak sebuah kotak yang ukirannya sangat teliti dan cantik di sebalik lollipop yang banyak itu. Kotak itu sangat menarik minatku. Mungkin milik Kak Rei. Agaknya Kak Rei tersilap letak kot...
“Kak Rei, Mia nak beli kotak ni boleh tak?” Aku menunjukkan kotak itu.
Air muka Kak Rei tiba-tiba berubah. Alamak, gurauku kasar sangat ke!?
“Eh, Mia gurau sajalah Kak Rei! Gurau je.. hehe.. ya.. gurau... hahaha.!..ha...ha...?” Kenapa Kak Rei nampak sedih sangat ni?! Apa yang aku dah buat ni?! Itulah, bergurau lebih-lebih lagi!
“Mia... kalau aku bagi kau kotak itu, kau terima tak?” Senyuman yang diberikan Kak Rei seolah-olah ada calar yang sangat besar dalam hati Kak Rei. Kak Rei sedang berusaha untuk menutup kesedihan yang terkandung dalam hatinya. Kenapa perlu buat sampai begitu? Mungkin ada peristiwa pahit yang berkaitan dengan kotak ini. Adakah dengan memberikan kotak ini kepada orang lain dapat melupakan peristiwa pahit itu?
“Kak Rei, tak nak simpan ke kotak Kak Rei ni? Dah la cantik! Tak rasa rugi ke bagi Mia macam tu je?”
“Aku tak perlukan kotak tu lagi. Lagipun kotak tu bukan aku punya.”
“Eh?! Kalau bukan akak punyalah tak boleh bagi dekat orang lain. Kejap, kalau bukan Kak Rei punya, siapa punya?” Aku memandang pelik kepada Kak Rei.
Kak Rei diam membisu. Aku faham Kak Rei tidak mahu membincangkan isu kotak ini lagi. Tanpa membuang masa aku meletakkan lollipop di atas meja counter. Setelah membayarnya, aku menyambung langkahku untuk pulang ke rumah. Sebelum kakiku melangkah keluar pintu kedai, aku menoleh ke arah Kak Rei.
“Terima kasih Kak Rei sebab bagi kotak ni,” kataku sambil menunjukkan kotak itu.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Mia dah pulang,” aku membuka kasut sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.
Seperti biasa, tiada orang pun yang menyambutku pulang. Jam yang ada pada dinding rumah menunjukkan pukul 9:15 malam. Bukannya aku berharap, tetapi Mak Ngah dan Pak Ngah tidak pernah menegur kesalahanku. Kadang-kadang aku sengaja membuat kesalahan untuk menarik perhatian Mak Ngah dan Pak Ngah seperti balik lewat malam, ponteng sekolah dan timbulkan pelbagai masalah di sekolah. Usaha-usahaku itu hanya sia-sia belaka. Memang aku dah dianggap ‘tidak wujud’ dalam keluarga ini.
Aku mendekati Mak Ngahku yang sedang asyik menonton drama Korea kegemarannya itu.
“Mak Ngah dah makan?” soalku.
“Aku reti makan sendiri lah!” lenting Mak Ngahku.
Kalau ikutkan hati, ingin sahaja aku lenting balik, tetapi bila difikirkan balik, Mak Ngahlah yang besarkan aku sejak ibu dan ayahku meninggal dunia. Aku diam membisu lalu melangkah masuk ke dalam bilikku. Aku rebahkan badanku ke atas katil empuk. Fuh! Lega…
Aku mengeluarkan kotak yang diberikan Kak Rei dari plastik lollipop. Hmmm… Apa yang istimewa sangat benda ini sampai air muka Kak Rei pun berubah? Kotak ini pun macam kotak antik sahaja. Ada apa ya dalam kotak ini? Dengan perasaan ingin tahu, aku membuka kotak itu.
__________________________________________________
Sila tutup lagu blog yang berada di bawah dan mainkan lagu ini.
__________________________________________________
Aku terpukau dengan melodinya, tetapi melodi yang dimainkan kotak ini seperti aku pernah mendengarnya. Aku tidak tahu bila dan di mana tetapi aku dapat rasakan yang aku pernah mendengar melodi ini. Sedang asyik mendengar melodi yang dimainkan kotak muzik, tanpaku sedari, air mataku mengalir laju turun ke pipi. "Eh? Apasal Mia menangis pula ini? Hahaha! Emo betul lah Mia ini. Lagu ini pun boleh nangis. Pelik, pelik…” Aku mengesat air mataku dengan baju sekolahku.
Tiba-tiba kotak muzik itu bercahaya.
“Lawak apa pula kali ini? Mesti Mia stress sangat ini. Kalau tidak, tidak adalah Mia nampak benda pelik-pelik macam ini. Hahahaha….” Aku menggosok mataku.
Sangkaanku meleset sama sekali. Berkali-kali aku menggosok mataku, tetapi kotak muzik itu tetap bercahaya. Berkali-kali jugalah aku menampar mukaku sendiri mahu ke dunia realiti, tetapi sekarang memang aku berada di dunia realiti! Apa maksud semua ini?! Kotak bercahaya?!
“Mia tak patut gatal tangan nak ambil kotak muzik pelik ini. Sepatutnya, Mia biarkan sahaja kotak ini di kedai Kak Rei,” aku mengeluh.
Aku teringat ketika aku bersama datuk. Datuk pernah cakap yang permintaan akan dimakbulkan kalau tiba-tiba ada cahaya muncul. Perkara itu memang mengarut dan tidak mungkin aku percaya. Tetapi…
“Kalau Mia buat permintaan, agak-agak dimakbulkan tak?” Aku tersenyum pahit kerana mana mungkin hajatku yang tidak masuk akal itu termakbul.
“Kan bagus kalau Mia masuk ke dunia lain. Apa guna Mia duduk sini kalau Mia sediri tidak ada kawan?Memanglah Mia popular di sekolah, tetapi setiap kali rehat Mia makan seorang diri, Kalau dekat koridor sekolah pun Mia jalan seorang diri inikan pula jalan pergi sekolah. Mak Ngah dan Pak Ngah pun bukan nak sangat Mia ada dekat sini. Kalau boleh, diorang nak hantar Mia dekat rumah anak yatim. Diorang ingat Mia tak dengar perbualan diorang hari itu? Mia… tidak diperlukan di sini.”
Cahaya kotak itu semakin terang sehinggakan aku tidak dapat melihat bilikku.
“Eh, apa yang berlaku ini?! Mana bilik Mia tadi? Apasal Mia nampak putih sahaja ini?"
-PERMINTAAN 1 TAMAT-
Labels: hanya satu permintaan, karya hana, Mia, permintaan 1, satu permintaan